Pageviews past week

Friday, October 30, 2015

DIA DAN AKU

Section :Dia

Kelas malam. Sebenarnya kuliah malam ini untuk menghadap baki silibus yang entah berapa topik lagi. Aku tak berapa gemar sangat dengan kuliah malam. Kuliah malam maksudnya aku akan tidur paling awal 3 pagi untuk menyiapkan tutorial topik malam ini untuk persediaan kelas tutorial esok. Aku rasa tak sedap badan. Rasa lemah dan mengantuk.
Ikutkan rasa, aku hendak terbongkang sahaja di bilik. Bertemankan bantal busuk dan selimut busuk.
Alangkah indah. Tapi terkenangkan otak yang tak berapa cerdas ini, tak sanggup hendak masuk ke kelas esok dengan muka blurr tak tahu apa-apa.
Aku gagahkan jua diri untuk pergi.

Dewan kuliah sarat manusia. Aku duduk di kerusi barisan kedua dari belakang. Niatnya supaya mudah hendak keluar nanti. Pensyarah di depan nampak kenit sahaja di pandangku. Dia mengajar bersahaja, sambil duduk. Tidak berdiri. Suaranya sahaja yang bergema di dewan besar itu. Tangga kiri dan kanan dewan ku perhatikan.
"Sakit jugak ni kalau jatuh."
Detik hati ku.
Manakan tidak, tinggi dewan ini sahaja sudah dua tingkat. Tangganya ada satu hentian mendatar.

Aku teruskan larian jemari menulis nota yang terpampang di hadapan. Di zaman serba moden begini, mengapa harus seorang pelajar sepertiku masih menulis nota lagi. Aku biarkan sahaja soalan itu terapung dalam mindaku. Ada cebisan formula baru, silibus subjek matematik yang harus aku hadamkan dahulu. Ada x, ada y, ada z, kemudian menjadi sebuah sfera. Aduh, matematik. Bagaimana huruf-huruf itu boleh jadi bentuk tiga dimensi sebegitu. Sekali pula dengan koordinat yang -entah, tak dapat aku pastikan tujuannya atau fungsinya.
Pintu dewan diketuk.
Gerakan pen terhenti.
Semua memandang susuk yang masuk ke dewan. Seorang gadis. Seorang pelajar. Dia membisikkan sesuatu pada pensyarah ku.
Kemudian pensyarahku memandang ahli dewan. Wajahnya agak malas.
"Mana mursyida? Sila ikut ke pusat kesihatan. Anda suspek denggi"

Seluruh dewan gamat. Sepertinya pensyarah baru sahaja mengumumkan pembatalan kelas. Cuma aku yang terdiam kerana Mursyida itu nama aku.

"Siapa Mursyida?"

Teragak-agak aku mengangkat tangan. Aku malu dengan perhatian seluruh ahli dewan. Aku tidak gemarkan perhatian. Aku cuma cepat-cepat mengemas dan berlalu dengan sengih kerang busuk.

Sedar-sedar aku sudah pun keluar ikut pintu belakang dewan. Aku tidak merancangnya. Mungkin respon naturalku yang tak mahu turun tangga ke pintu depan, disebabkan perhatian yang melampau oleh ahli dewan. Tidak apalah. Asalkan aku terlepas dari bola bola mata yang memandang. Aku memandang sorot susuk gadis yang mencariku. Dia sedang melambai padaku dari bawah.
Ya, jika keluar dewan dari pintu belakang- aku masih perlu turun tangga.
Tapi bezanya, tiada yang memerhatikan aku.
Aku senyum pada gadis itu, lantas menuruni tangga. Dia senyum kembali padaku.
Kemudian mengerut dahi.wajahnya berubah risau. Aku terasa melayang. Kaki ku meluncur anak tangga. Aku terjerit kecil. Punggungku bertemu anak-anak tangga, dan aku meluncur menuruninya.

Gadis itu terkejut. Aku malu.
Aku dapat dengar seluruh dewan gamat lagi. Sedang aku cuba bangun, seorang lelaki muncul di pintu. Cuma kepalanya yang tersembul.
"Kenapa?"
Aku teragak-agak hendak menjawab. Dalam keadaan aku tak dapat memastikan keadaan diriku sama ada cedera atau tidak.
"Jatuh tangga"
Aku senyum.
Dia masuk semula dewan dan menutup pintu. Dua saat kemudian, aku mendengar tawa yang gamat di dewan.
'Lucukah kemalangan ku ini?'
Ku biarkan satu lagi soalan terapung di minda.

"Mursyida, awak nanti terus ke pusat kesihatan. Naik ambulans ke hospital untuk saringan."

Lalu gadis itu terus berlalu ke dewan lain. Aku terpinga.